Thursday, May 12, 2016

P.RAMLEE MENGKRITIK GOLONGAN PERUNDING

Anda tentu masih ingat dgn perilaku Kassim Patalon selaku "TUAN PENASIHAT" yg wataknya diterajui oleh seniman Salleh Kamil dalam filem "Tiga Abdul" (1964). Kassim Patalon adalah peguam serta perunding peribadi Tuan Sadiq Segaraga, Saudagar barang-barang antik/purba. Dalam banyak hal, Tuan Sadiq amat bergantung kepada kata-kata nasihat atau idea si "perunding" (atau dalam sebutan hari ini digelar "KONSULTAN"....) dan enggan memikirkan sendiri sesuatu isu dlm memecahkan sebarang kebuntuan...

Sebenarnya apa yg berlaku atau cuba digambarkan oleh P.Ramlee dalam filem itu antara lain ialah sikap masyarakat yg terlalu bergantung atau percaya pada golongan "perunding". Walhal, perunding juga adalah manusia biasa yg penuh dgn cacat-cela, kebodohan, tamak-haloba, penipu, pembelit dan sebagainya lagi...

Hari ini golongan perunding semakin berkuasa dalam masyarakat. Apa saja projek perlu dirujuk kpd "pakar runding" terlebih dulu. Banyak jenis pakar runding. Bergantung pada bidang. Arkitek, kejuruteraan, keselamatan, perancangan strategik, kompetensi, HRD, akauntan, perbankan, penstrukturan, perundangan dan macam-macam lagi. Pendek kata, ada saja "pakar runding" dalam apa jua bidang sekalipun kalau anda mahu. Yang penting, tentukan bayarannya cukup...belum termasuk GST 6%....!

Hakikatnya kita tidak pasti samaada benarkah para perunding ini berwibawa, berpengalaman luas, bijaksana dan cukup berkelayakan. Atau mereka wujud atas dasar neo-liberalisme yang diwujudkan berteraskan ideologi kapitalisme yang rata-rata dikuasai oleh golongan korporat? Dan, bagaimana mereka boleh "hidup" mewah dan lumayan hanya dengan mempersembahkan sedikit-sebanyak idea yang dimanipulasikan agar kelihatan indah, hebat dan mengagumkan? Disinilah terletaknya fungsi kronisme dan nepotisme dalam menentukan jaringan yang terlalu kompleks menjadi lebih komplikated dan hebat wajahnya...

Hari ini ramai orang besar tidak dapat hidup tanpa "tuan penasihat". Tak kisahlah, apa yang hendak dinasihatkan. Yang penting, syarikat anda perlu ada "rubber stamp" dari perunding-perunding tersohor... Barulah ada peluang besar untuk mendapat projek-projek mega, biaya kewangan berjuta ringgit dan kontrak-kontrak yang bertali-arus..! Soal anda kena tipu atau dikelentong oleh sang perunding adalah tidak penting samasekali. Mana lebih hebat? Dapat projek "giga" atau projek "cicak"...?

Dan, jika anda cukup bijak, anda sendiri boleh membelit si perunding dan menjadikannya pecacai yang bakal menjilat najis-najis yang ditinggalkan sekiranya projek anda gagal...!

Thursday, November 19, 2015

P.RAMLEE MENGHUJJAHI ISU DARJAT DAN HIRERKI SOSIAL

MUNGKIN orang melihat filem "ANTARA DUA DARJAT" adalah satu-satunya filem yg paling hampir kpd realiti sosial hari ini kalau bukan memecahkan otak saintis-saintis sosial kontemporari. Soal status quo keturunan, kebangsawanan, keningratan, ke-elitan adalah suatu perkara yg cukup mengental dlm semua corak masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun. Sebenarnya persoalan darah-keturunan bukanlah satu-satunya isu utama yg mewujudkan jurang sosial. Pemilikan ekonomi, kuasa (terutama kuasa politik...!), darah, keilmuan, keintelektualan, ideologi materialistik dan macam-macam lagi - telah menjadi batu-asas kpd semakin melebarnya hirerki serta jurang sosial dlm masyarakat.

Apabila dilantik sebagai "Direktor", P.Ramlee tidak bertangguh-tangguh lagi menghujjahi soal status quo dikalangan orang Melayu melalui filem "PENAREK BECHA" (1955). Selepas itu ia dituruti oleh filem-filem seperti "BUJANG LAPOK", "NUJUM PAK BELALANG", "MUSANG BERJANGGUT", "IBU MERTUAKU", "LABU-LABI", 'AHMAD ALBAB", "SABARUDDIN TUKANG KASUT" dan lain-lain. Filem "ANTARA DUA DARJAT" (1960) dilihat sebagai kemuncak pada kritikan P.Ramlee terhadap falsafah kedarjatan ciptaan manusia. Beliau bersungguh-sungguh "mencanai" sesuatu isu konflik sosial sesuai dgn tema sesebuah filem untuk disantapi oleh mana-mana generasi tanpa sebarang batas waktu. Sehingga hari ini setelah lebih setengah abad, "kritikan2" beliau terus "dinikmati" orang tanpa jemu... Ini kerana - ia adalah realiti sosial yg sebenarnya memang ingin dilihat oleh semua orang - iaitu KEADILAN SOSIAL yg benar-benar menyeluruh dalam masyarakat...!


 #  Dialog dlm filem:  "..Lihat padaku, darahku berwarna merah, sama seperti darahmu. 
                                      Tiada apa yang membezakan kita, hanya hati busukmu 
                                      membanggakan keturunan yang tiada makna......!

Dalam filem "MASAM-MASAM MANIS" contohnya, dialog pertelagahan antara Cikgu Shaari dgn Mariani antara lain membabitkan kata-kata: ".....penyanyi, penari semua sama saja.......! Low class..!!" Maka dijawab oleh Mariani: "...apa cikgu ingat orang terpelajar macam cikgu semuanya High Class..?? ..kadang-kadang lebih KARAT lagi...!!" Sebenarnya babak ini adalah kritikan tajam utk golongan terpelajar yg menyangka mereka itu "High-Class" atau tergolong dlm kasta tinggi. Walhal terlalu banyak fakta yg membuktikan bahawa "golongan terpelajar" terbabit dgn korupsi, jenayah serta pelbagai bentuk gejala sosial yg merosakkan..!

Filem "LABU-LABI" umpamanya telah menyelitkan watak "TUAN MAGISTRET" (yg diwataki oleh P.Ramlee sendiri) dan watak 'TUAN DOKTOR" (yg dilakunkan oleh M.Zain) yg antara lain mengetengahkan kegilaan meletakkan pangkat, darjat atau kelulusan selepas nama masing-masing. Ini merupakan realiti sosial masyarakat hari ini yg gilakan pangkat, gelaran atau segala macam kelulusan atau panggilan yg diletakkan sebelum atau selepas nama masing-masing. Malah ia sudah menjadi "protokol" demi menggambarkan "wibawa" atau "status quo" individu.

Business Card hari ini tidak akan lengkap jika tidak dicatatkan gelaran jawatan seperti "CEO/President/Managing Director" dan "PhD/MBA/LLB/" atau "Ir/Ar/Cr" dan macam-macam lagi....! Betapa tidaknya. P.Ramlee telahpun "menceriterakannya" sejak tahun 1962 lagi..! Dan, sedar atau tidak, segala "nomenclature" ini tidak lain dari memperkukuhkan ideologi egoisme, kesombongan serta ketakkaburan individu dlm dunia materialistik hari ini... Inilah yg sebenarnya cuba diperkatakan oleh P.Ramlee dlm bahasa seni yg cekap dipamirkan oleh beliau...!




Dlm filem Antara Dua Darjat, sewaktu adegan pertarungan antara watak Razali dgn Tengku Mukri yg mencederakan kedua-duanya, Razali sempat menempelak dgn tajam: "Lihat padaku, darahku berwarna merah, sama seperti darahmu. Tiada apa yang membezakan kita, hanya hati busukmu membanggakan keturunan yang tiada makna......!”  Dgn maksud lain, manusia ini adalah berasal dari satu tubuh yg satu - iaitu Nabi Adam a.s. Jadi, mengapa harus ada manusia yg gilakan darjat dan kedudukan hingga sanggup memijak-mijak, memperhamba & menjahanamkan orang lain?

Apakah hak seorang raja, sultan atau pemerintah hingga boleh menyembelih atau memperkotak-katikkan orang kebanyakan? Sedarkah mereka bahawa status mereka itu langsung tiada bezanya disisi Tuhan? Bukankah hanya iman dan takwa yg akan membezakan nilai seseorang...?? Malangnya, sehingga kini masyarakat masih tergila-gila kpd status dan darjat - yg telah menjadi faktor kpd perpecahan dikalangan masyarakat hari ini...! Dan, kegilaan kpd "kuasa" telah menambahkan keparahan, kekeparatan dan kebiadaban manusia kpd keturunan manusia itu sendiri...!



Filem "IBU MERTUAKU" (1961-62) yg ideanya berasaskan Ahmad Nisfu adalah pelengkap kpd kritikan besar seniman ini terhadap sistem kasta dlm masyarakat kontemporari. Tidak semestinya, seorang raja atau bangsawan, orang kebanyakan yg kaya-raya juga boleh menjadi "orang besar" yg cukup berpengaruh dan boleh melumpuhkan kemanusiaan. Demikianlah gambarannya.. P.Ramlee dikatakan telah menghabiskan lebih 6 bulan utk menggarap filem ini selengkapnya. Akibatnya, beliau terpaksa menanggung kos lebihan dari peruntukan asal sebanyak 60 ribu ringgit dgn menggunakan kewangan beliau sendiri. Demikianlah mahalnya harga sebuah kritikan sosial..!




Sebenarnya P.Ramlee tidak perlu diagung-agungkan - kerana beliau tidak pernah minta diagung-agungkan sewaktu hidup dahulu. Beliau cuma mengajak masyarakat berfikir dan merenung sejenak terhadap realiti yg wujud dlm masyarakat sejak dulu sehingga kini. Tugas seorang "saintis sosial" memang begitu - mengajak orang menggunakan otak atau melakukan percambahan idea. P.Ramlee secara jelas membantah sistem kasta atau hirerki sosial yg terus diamalkan oleh masyarakat elit, burjuis atau ningrat. Beliau melihat "ideologi" tersebut sebagai racun yg sebenarnya memusnahkan kekuatan dan ukhuwah masyarakat pada mana-mana zaman pun.

P.Ramlee - Beliau sendiri berketurunan ningrat (Teuku Zakaria = Tengku Zakaria...) namun beliau langsung tidak pernah berbangga dgn gelaran itu. Ini terbukti bilamana, namanya yg "cantik" ( - Tengku Zakaria bin Tengku Nyak Putih) ditukar kpd nama biasa (- Ramlee bin Putih) pada usia yg masih terlalu muda. Dan, beliau menyenangi nama itu sebagaimana digambarkan melalui filem "Pendekar Bujang Lapok" beliau beliau menyebut: ".....nama saya Ramlee bin Putih....!". Bukankah ini terlalu unik utk seseorang yg jelas berkasta ningrat seperti beliau...? Dan, mengapa beliau lakukan ini - adalah kerana beliau cukup mengerti bahawa manusia ini sama sahaja - tiada beza walau sedikit pun! Ini adalah suatu kesedaran penting kalau kita mahu menjadi manusia yg baik dan berguna kpd manusia yg lain!

Terbukti bahawa P.Ramlee telah menggunakan bakat seninya utk memperbetulkan persepsi masyarakat yg sarat dgn kesesatan, konflik, kegilaan kpd kuasa, darjat dan materialisme kearah menjadi ahli masyarakat yg pemikir yg berpijak di bumi yg nyata dan kembali kpd jalan Allah Taala...!

Wallahualam..

Tuesday, June 16, 2015

P.RAMLEE DAN MALAM JUMAAT

Malam Jumaat adalah suatu malam yg mulia dan berkat. Namun kerapkalinya ia disalahertikan terutama oleh golongan ortodok yg masih terpengaruh dgn animisme. Orang Melayu terutamanya di hulu ada kalanya amat kuat berpegang pada amalan animisme yg bertentangan dgn aqidah Islam. Dan, walaupun Islam telah lebih 600 tahun bertapak di wilayah Melayu, namun amalan mempercayai makhluk-makhluk halus seperti hantu-setan dan macam-macam lagi masih mencengkam masyarakat Melayu kontemporari.




Menerusi tiga filemnya - PENDEKAR BUJANG LAPOK (1959), NASIB DOREMI (1966), LAXAMANA DOREMI (1972), P.Ramlee mengkritik masyarakat yg masih beranggapan bahawa malam Jumaat itu adalah malam yg mengerikan. Malam yg penuh dgn misteri, penuh hantu-puaka dan lebih sesuai utk menuntut ilmu-ilmu hikmat, ghaib, ilmu persilatan atau yg seangkatan dengannya. Disebut sebagai malam "mengasah ilmu silat.." (dlm Pendekar Bujang Lapok). Manakala laungan-laungan sayup yg muncul pada malam-malam seperti itu adalah dikaitkan dgn suara bunian, jin atau hantu jembalang. Hinggakan masyarakat menjadi takut gara-gara pemikiran animisme yg masih kental dikalangan segelintir kaum yg masih melekat dgn amalan-amalan tahyul, syirik dan mungkar.



Hari ini masyarakat modern sudah banyak terpisah dari budaya animisme. Malangnya, golongan muda terutama yg masih dibangku sekolah kerap mengambil kesempatan utk melakukan adegan "stunt" yg juga dikenali sebagai "rempit". Malam Jumaat yg sewajarnya dipenuhi dgn zikir, doa atau amalan-amalan sunnah kerap dipenuhi dgn kejadian-kejadian yg berbeza seperti muzik heavy-metal, karaoke dan pelbagai agenda yg tidak sihat yg ada kalanya bertentangan dgn Islam. 

Malangnya pejuang-pejuang seni hari ini telah gagal utk bangkit menentang kekalutan ini menerusi kerja-kerja seni mereka. Ini kerana asas kpd aktiviti seni masing-masing ialah materialisme. Maka, perjuangan utk menegakkan moral, mentaliti atau memperbetulkan etika berfikir masyarakat jelas tidak akan kesampaian. Berbeza dengan P.Ramlee yg dengan tanpa segan-silu menyindir masyarakat agar menjadi lebih pemikir dan jangan terus-terusan bertakliq kpd ideologi-ideologi sesat...!

Sunday, May 10, 2015

P RAMLEE: ARTIS PEMALAS ATAU SEORANG SAINTIS SOSIAL?

BERMULANYA POLEMIK

Mari kita mulakan.
SEBERMULA, adakah sesiapa yang telah membuat kajian tentang hal ini? Kalau belum, nah, inilah waktunya utk membuahkan tesis kesarjanaan atau doktor falsafah. Atau, mungkinkah kita perlu menolak mentah-mentah perkara ini? Lantaran P Ramlee tidak pernah belajar dimana-mana universiti kecuali untuk membentang satu-satunya kertas kerja beliau (mengenai hala tuju musik tradisi Melayu) bagi Simposium Kebudayaan Nasional di UKM.

Pembentangan itu terjadi pada tahun 1971. Cuma sekeping kertas setebal satu mukasurat sahaja yang dibentangkan. Beliau mengupas tentang nasib musik tradisional Melayu yang kian malap dan dipinggirkan (tiada siapa sedar bahawa beliau juga sedang membentangkan nasib beliau sendiri dalam dunia musik!). Musik popular aliran barat dan hindustan cergas mencorak langkah mendominasi konteks musik tempatan pada waktu itu. Hingga sukar untuk dipastikan mana satu musik Melayu dan mana satu yang bukan Melayu. Dan tiada siapa ambil pusing kemanakah musik Melayu mahu pergi..



AL-KISAHNYA...

Lambakan lagu-lagu saduran hindustan dan barat menguasai pasaran tempatan. Sindiran P Ramlee dalam simposium tersebut diperihalkan (oleh pelbagai penulis) sebagai cukup ringkas dan spontan tetapi amat tajam. Hadirin cuma mampu berdekah-dekah, tidak lebih dari itu. Seolah-olah mereka sedang menonton versi filem-filem "Pendekar Bujang Lapok" atau "DoReMi" yang belum pernah ditayangkan. Pada akhirnya, tiada maklumbalas yang positif telah dilaksanakan oleh mana-mana pihak. Simposium tersebut berakhir tanpa matlamat yg jitu tanpa sebarang resolusi untuk membela nasib musik-musik tradisional Melayu (dan mungkin juga nasib pemusik-pemusik tradisional klasik?).

Kita sering memerlukan suatu "wakeup call" untuk sedar diri dan mengucap panjang. Adakah ini memang budaya bangsa kita? Demikianlah juga dengan mentaliti penggiat-penggiat musik tempatan - perlukan "wakeup call" baru mahu sedar diri dan tahu diuntung? Hanya kebelakangan ini sahaja musik tradisional telah diberikan "tempat duduk khas" serta "tangki oksigen" dalam carta musik tempatan. Jika tidak ia tiada akan mampu untuk terus bernafas - akan tenggelam dibaham ombak dari timur dan barat....lupus dari lipatan sejarah orang yg tidak tahu harga sejarah..!

Sahibul hikayat, masih bertahan....itupun setelah melalui suatu "zaman lompang" yang cukup terumbang-ambing (pada pandangan mereka yang ambil kisah dengan musik Melayu) dan setelah adanya "kemahuan politik" untuk melihat musik tradisi Melayu tidak terus lenyap dari lipatan sejarah. Walhal P Ramlee telahpun menyuarakan kebimbangan beliau sejak awal-awal lagi. Demikianlah Melayu. Asyik bergantung kepada "peniup tetuang", baru mahu bangkit dan berjuang. Jika tidak, hobi utama mereka ialah "membuta", memanjangkan angan-angan dan berkonflik antara satu sama lain. Apa akan jadi pada bangsa Melayu kalau si "peniup tetuang" itu mati?


DEFINASI ATAU DEFINISI..?

Sebelum itu elok diperjelaskan apa makna ARTIS dan apa pula SAINTIS. Artis bermaksud orang yg membabitkan diri dlm aktiviti2 artistik (atau kerja2 seni..) seperti melukis, mengukir, melakar, menulis, bermain peralatan, menghasilkan seni lagu dan menyanyikannya, seni tenunan, pengkaryaan, perlakunan, pengarahan filem atau teater (atau seangkatan dengannya..), penghasilan pakaian, ketukangan dan apa-apa saja kerja kreativiti atau hasil seni yg diterimapakai atau dapat dimunafaatkan oleh masyarakat.

Manakala saintis pula bermaksud orang yang mengkaji "sains semulajadi" (natural science) utk menemukan atau menghasilkan sesuatu. Dlm bahasa mudah, saintis ialah orang-orang yg menggunakan pengetahuan saintifiknya utk menghasilkan sesuatu yg bersifat samaada kuantitatif atau kualitatif yg memberi munafaat kpd manusia dlm pelbagai aspek kehidupan seperti menghasilkan janakuasa utk penghasilan tenaga elektrik, mencipta engin efisyen minyak, mencipta teori-teori baru dalam pengurusan sosioekonomi atau pentadbiran awam dan macam-macam lagi. Jika ingin memahami secara lebih mendalam, anda dicadangkan utk mendaftar mana-mana program diploma/ijazah pertama (mungkin secara "part time"...) lantaran hari ini kebanyakan program-program ini mewajibkan pelajar mengambil kursus "Kaedah Penyelidikan" serta lulus. Ataupun, anda bolehlah melakukan pembacaan teks "Kaedah Penyelidikan" - utk memahami apakah objektif sesuatu penyelidikan itu dilakukan. Adakah utk berseronok-seronok, utk "syok sendiri", utk memburu pangkat dan darjat atau bermatlamatkan tujuan yg amat besar utk agama, masyarakat dan negara..??

Dari kupasan yg ringkas ini jelas memperlihatkan bahawa ARTIS dan SAINTIS itu seolah-olah tidak jauh bezanya. Kedua-duanya perlukan kajian & pembangunan (research & development). Kedua-duanya perlukan inovasi. Jika ada orang yg mengatakan bahawa artis tidak menggunakan otak, maka orang itulah yg tidak menggunakan otaknya. Artis ialah golongan yg cukup kreatif. Untuk itu, mereka perlu banyak melakukan penyelidikan. Dan, sudah tentulah mereka perlu berilmu dan bermetodologi. Tanpa ilmu dan kompetensi, tiada siapa yg mampu berkreativiti.

Sebagaimana seorang saintis, seorang seniman atau artis juga perlu banyak berfikir, merenung, mengkaji, membuat pelbagai perbandingan luar dan dalam. Spertimana saintis, mereka perlu merantau jauh meneroka pelbagai platform atau fenomena demi mewujudkan suatu landasan yg kukuh dlm pengkaryaan mereka. Jika ini tidak dilakukan, maka jadilah hasil seni mereka itu tidak lebih dari karya picisan yg tidak berkualiti, tidak jejak ke bumi, tidak bernas, tidak deduktik, gagal merangsang minda masyarakat, gagal meningkatkan daya kritis mereka dan tidak berharga....!





SAINTIS PERLU BERKELULUSAN TINGGI...?

P.Ramlee mungkin tidak pernah mendapat pendidikan tertiari secara langsung (sebagaimana kita?) dari mana-mana universiti. Mungkin juga beliau tidak sempat ambil LCE, MCE atau HSC. Atau mungkin perkara ini tidak pernah direkod dan dibongkar (jika beliau pernah mengambilnya dan lulus). Hal-hal akademik P Ramlee tidak pernah dibincangkan langsung dan dikaji oleh sesiapa selain dari memperkisahkan kenakalan beliau di Penang Free School. Kita kebankrupan modal apabila membicarakan pencapaian intelektual P Ramlee...

Pun begitu, P Ramlee ada memiliki sesuatu. Beliau lulus kursus bahasa Jepun (yang diambil secara persendirian) dan telah dianugerahi diploma (sebagaimana terpapar di Muzium P Ramlee). Itu sudah cukup membuktikan bahawa beliau memang berkeupayaan (dalam akademik) jika benar-benar diberi peluang dan biasiswa sebagaimana orang sekarang. Selama ini kita dimomokkan dengan cerita bahawa beliau menguasai bidang musik dan perfileman lantaran bakat selain minatnya yang mendalam serta ketiadaan pesaing. Kita memang gemar membuat proposition (tanggapan) & deduksi tidak berasas. Adakah cukup dgn bakat semata-mata...?

Bagaimana dengan ketekunan belajar dan mengkaji (walhal beliau diriwayatkan oleh yang empunya riwayat sebagai seorang yang malas membaca)? Logiknya, bagaimana beliau dapat menguasai bidang perfileman dan musik dengan sebegitu hebat kalau beliau hanya seorang insan pemalas? Pencapaiannya terlalu jauh untuk diatasi orang-orang yang memiliki diploma profesional, ijazah mahupun kesarjanaan dalam bidang-bidang tersebut. Sehingga kini tiada siapapun yang mampu memecahkan rekod beliau.


KEKUATAN P.RAMLEE

Tiada seorang profesor pun dlm negara ini mampu setanding dgn beliau dlm pencapaian seni. Soalnya, bagaimana mungkin seorang manusia pemalas, bodoh atau tidak berilmu mampu menghasilkan filem-filem besar dan musik yang kekal "evergreen" hingga ke hari ini? Ini bererti P Ramlee bukan manusia pemalas sebagaimana tuduhan2 yg dilontarkan. Tetapi beliau bukan pula sembarangan artis. Beliau adalah seorang pemikir dan pengkaji - seorang artis berjiwa saintis.

P Ramlee mungkin tidak berkelulusan (selain dari bahasa Jepun tadi). Namun begitu, ini tidak bermakna beliau seorang yang terlalu dangkal pengetahuan dan kompetensinya. Sebagai buktinya, pada usia semuda 26 tahun beliau telah menjawat jawatan sebagai pengarah di Studio Jalan Ampas, iaitu jawatan tertinggi dalam dunia perfileman selepas produser. Pada usia 27 tahun beliau juga telah dinobatkan sebagai sebagai Aktor Terbaik Asia 1956 (melalui filem Anakku Sazali) dan Penyusun Musik Terbaik (melalui filem Hang Tuah). Beliau juga telah memenangi beberapa award lain termasuk Filem Komedi Terbaik dan Artis Serbaboleh. Kesemuanya di peringkat Asia, iaitu peringkat antarabangsa. Bolehkah status setinggi ini dicapai oleh seorang yg bodoh, lembam, bahlul, pemalas...??

Jika dibuat perbandingan, tiada seorang pun seniman atau artis kontemporari yang mampu mencapai tahap seperti itu. Keupayaan beliau itu mungkin lebih memberangsangkan jika filem-filemnya dikeluarkan dalam berwarna (bukan dalam bentuk hitam-putih). Pun begitu, kemampuan beliau tiada dapat diragukan lagi. Kecuali oleh orang-orang yang benci kepada filem dan musik Melayu. Sehingga hari ini, belum ada sesiapapun yang mampu memecahkan apa-apa rekod yang telah dicapai nya. Jangankan memecahnya, mendekati atau menyamai pencapaian tersebut juga tidak mampu dilakukan, walaupun kita sudah memiliki modal serta jaringan teknologi yg tinggi.

Dari pengarahan filem, beliau adalah satu-satunya orang Melayu yang direkodkan sebagai paling banyak mengarah filem dlm jangkamasa hidupnya yg agak singkat. Beliau mulai mengarah pada tahun 1955 (filem Penarik Becha) dan disudahi dgn filem Laksamana DoReMi pada tahun 1972. Ini bererti beliau hanya sempat menjadi pengarah selama 17 tahun sahaja. Tetapi dlm waktu yg sesingkat itu jumlah filem arahan beliau ialah 35. Dari jumlah ini, 33 lakunlayar ditulis sendiri oleh beliau. Beliau juga turut menghasilkan musik latar utk 45 buah filem. Jadi, siapa agaknyamanusia Melayu hari ini yg mampu mencabar posisi beliau..? Jawabannya: tiada siapa yg mampu utk satu atau dua abad ini walaupun teknologi sudah ada utk manusia menghasilkan kerja-kerja seni sepantas lipas kudung...! Ini kerana "bakat" dan "ilmu" adalah dua benda yg berbeda, walaupun komplementari.



BAKAT ATAU ILMU...??

P.Ramlee adalah P.Ramlee. Jadi, bakatkah atau ilmukah...? Seorang manusia yg hanya sempat belajar diperingkat asas. Tidak sempat belajar lebih tinggi atas pelbagai faktor dalaman dan luaran berbanding artis hari ini yg paling tidakpun ada sijil SPM, kalau bukan diploma atau ijazah. Dgn sikapnya yg dirawikan sebagai lasak serta bebas-lepas sewaktu remajanya (yg hari ini bolehlah disejajarkan dgn budak-budak rempit yg tak sempat habis sekolah...) serta tekanan hidup selama 4 tahun sewaktu penjajahan Jepun, bakat seninya muncul tanpa disedari yg telah memberi kesan serta angin peralihan dari hidup yg tidak berpertanggungjawaban kpd suatu konsep hidup yg lebih berdisplin dlm lingkungan aktiviti kesenimanan.

Peluang menimba ilmu muzik secara kampongan adalah asas kpd pembinaan bakat yg lebih besar. Dlm tekanan hidup selepas perang yg dipenuhi kecamuk sosioekonomi serta pergelutan yg pelbagai, P.Ramlee masih berjaya membawa diri ke suatu era yg amat berbeza dan cukup mencabar di kota Singapura (tahun 1948). Kita harus sedar bahawa pada waktu itu Tanah Melayu sedang hebat dilanda angin nasionalisme politik selepas kegagalan partai KMM mengistihar kemerdekaan negara seiring dgn pengistiharan oleh Indonesia sebaik sahaja Jepun tewas. Lompang kosong dgn segera dipenuhi oleh Pentadbiran Tentera British (BMA) telah gagal utk membendung keganasan Partai Komunis Malaya selain terpaksa menerima hakikat bahawa angin peralihan sudah tiba utk memerdekakan Tanah Melayu yg telah dijajahi sejak lama...

Selain itu, proses pengkaryaan P.Ramlee harus dilihat sebagai amat mencabar. Selain dari konteks pembikinan yg "dijajah" oleh jerung-jerung dari Hong Kong yg lebih berminat menggunakan pengarah-pengarah murahan dari India, perbicaraan atau penekanan sosiopolitik pengkaryaan beliau amat dihimpit oleh pengaruh luaran dan dalaman yg cukup genting utk dihujahkan. Namun beliau berjaya melakukan suatu bentuk reformasi terutama dlm konteks tema dan falsafah pengkaryaan tersebut. Meskipun musik atau filem-filem beliau kebanyakannya terlalu spontan bersahaja, ia "MASIH" berpijak pada asas kemelayuan kontemporari yg kukuh.

Dalam ertikata lain, ia berpijak pada asas ilmu dan peradaban Melayu yg kuat, jitu dan mendalam....walaupun pada dasarnya Melayu hanya satu bangsa yg "BARU" yg hanya muncul pada abad ke sebelas atau duabelas. Mungkin istilah "peradaban Melayu" itu sendiri terlalu kompleks utk dikupas oleh otak-otak pengkaji Melayu lantaran kita "orang baru" dlm dunia peradaban. Tak kisahlah. Itu terpulang kpd individu utk memberi definisi masing-masing...

Tetapi bakat beliau dalam bidang musik dan perfileman telah cukup untuk membuatkan beliau terlalu sibuk untuk terbabit dalam akademik. Kalau ditakdirkan umur beliau panjang, tiada yang lebih layak untuk diberikan jawatan akademik selain dari profesor emeritus dalam dunia perfileman, musik, penulisan skrip, screenplay dan beberapa genre seni yang lain. Ini kerana keupayaan beliau meninggalkan impak yang mendalam dalam bidang-bidang ini.

Bukanlah bermakna beliau terlalu pakar dalam serba-serbi. Tiada manusia yang dilahirkan pakar dalam segala segi. Namun kepakaran beliau dalam bidang-bidang yang dinyatakan tadi adalah terbukti jelas dan nyata walaupun mungkin ada yg menolaknya atas sebab-sebab tersendiri. Bakat adalah anugerah Allah Taala. Jadi, siapakah yg paling layak dikagumi? Manusia atau Maha Pencipta...? Insan dianugerahi bakat utk diimplementasi dgn sebaik mungkin.. Namun, tanpa kekuatan ilmu, bakat pasti berkarat, terpendam, terbenam, tersesat dan sukar utk dibongkar secara realistik dan berkesan...! Apa pendapat anda...?

SAINTIS...?

Sesiapa pun boleh digelar saintis kalau ia menggunakan ilmunya dgn tepat dan jitu dlm mengerjakan sesuatu. Bukan sekadar tertakluk kpd jawatan "saintis", "penyelidik", "profesor" atau sandangan-sandang yg memerlukan kerja-kerja eksperimentasi, penyelidikan inovasi, amalan2 makmal atau kerja-kerja seperti itu. Bila kita menggunakan otak utk memikirkan sesuatu keputusan, kesimpulan, dapatan atau hasil kajian dgn berlandaskan metodologi yg saintifik (kuantitatif atau kualitatif...) maka itu dikatakan amalan yg saintifik. Maka hasilnya juga saintifik. Tidak semestinya melibatkan peralatan teknologi yg canggih-manggih. Dan, dalam pembikinan sesuatu hasil seni seperti musik dan filem, proses saintifik atau perlandasan ilmu adalah cukup ketara. Tanpa ilmu saintifik, sebuah opera bodoh (sekalipun) tidak mungkin dapat dipentaskan. Bezanya ialah fokus, kedalam & kejituan hasil yg dibentangkan...

Ringkasnya, sesiapa pun berhak menjadi "saintis" kalau beliau memiliki keinginan yg kukuh, melakukan kajian demi kajian, pemerhatian, pembacaan, "brainstorming" & melaksanakannya dgn sebaik mungkin berlandaskan teras-teras keilmuan atau teori-teori yg diterimapakai oleh masyarakat kontemporari...!




ATAU, SAINTIS SOSIAL...?

Sama sahaja kaedahnya. Jika ada membabitkan penggunaan kaedah kualitatif atau kuantitatif, maka ia umumnya saintifik. Sebabnya: kedua-duanya ada proses pengukuran serta triangulasi (membabitkan lebih dari satu teknik penyelidikan..) yg akan menghasilkan kesimpulan yg boleh diterima pakai. Sains sosial lebih terbuka berbanding sains tulin yg amat bergantung pada eksperimentasi dalam makmal yg khusus dan cukup berprotokol. P.Ramlee dlm menghasilkan pengkaryaan filem-filemnya amat berasaskan proses pengamatan sosial, survey atau dlm bahasa mudah - menggunakan kaedah kualitatif. Lantas, kita bolehlah menyimpulkan bahawa beliau kerap menggunakan pemerhatian, pengumpulan data secara kualitatif (sebagaimana yg dilakukan oleh penyelidik sosial/saintis sosial) dlm menghasilkan karya beliau. Ini bererti beliau bukan sekadar seorang karyawan filem/seni, malah tanpa disedari beliau (juga) adalah seorang SAINTIS SOSIAL...

KESIMPULANNYA?

Anda kajilah sendiri...baru dapat jawaban sebenarnya...! Utk menjadi "saintis", kita perlukan ILMU, bukan IJAZAH. Utk beroleh ilmu, rajin-rajinlah belajar, membaca, mengkaji, mutlaah, menyelidik & berfikir. Ada penggiat seni yg seangkatan dgn beliau mengatakan bahawa P.Ramlee adalah seorang manusia pemalas. Adakah ini benar?

Bagaimana seorang pemalas boleh mengarah sebanyak 3 filem setahun selain mencipta lagu, menyusun musik utk filem rakan-rakan, menulis skrip, berlakun, menyanyi dan macam-macam lagi...? Adakah seorang pemalas mempu memenangi oskar aktor terbaik Asia (1956), Lagu Terbaik (1956), Komedi Terbaik (1959, 1960 & 1964), Most Versatile Artist (1963)....- pencapaian-pencapaian yg tidak pernah tercapai oleh seniman Melayu hari ini...!

Dan itu semua hanya dilakukan dalam jangkamasa tidak sampai 22 tahun...? Bagi para pengkritik beliau, cuba kaji diri anda - apakah yg sudah anda capai selepas 22 tahun menjadi seniman atau saintis...???

Al-Fatihah utk P.Ramlee...!


Wednesday, March 4, 2015

SULTAN MELAYU PADA PERSPEKTIF P.RAMLEE

Bagaimana P.Ramlee melihat SULTAN atau Yang DiPertuan bagi negeri Melayu? Adakah beliau terlalu memuja kpd prinsip kesultanan Melayu atau beliau cukup kritis? Jika diamati dgn teliti, beliau tidak pernah berlakun sebagai SULTAN. Kerap-kalinya, beliau banyak berlegar dgn watak2 separa antagonistik dan adakalanya separa protagonis. Jadi, ia amat bergantung pada jalan cerita yg dipilih. Mungkinkah ia suatu kebetulan jika beliau tidak pernah memilih watak sebagai pemimpin utama, penghulu atau sang pemerintah dlm sesebuah filem itu? Peranan tertinggi pernah beliau sandang ialah sebagai "Nila Utama", iaitu anak angkat sultan dlm filem "Musang Berjanggut". Itu saja. Manakala watak Ahli Nujum Negara (dlm filem "Nujum Pak Belalang") bukanlah watak seorang pemimpin. Begitu juga watak Hang Tuah atau Laxmana DoReMi yg masih berstatus "datuk panglima", masih belum mengatasi status datuk menteri atau putera mahkota.

Kenapa P.Ramlee enggan memilih watak sebagai SULTAN? Sudah barang tentulah ada motif utama disebalik tindakan ini. Walhal, sebagai seorang direktor, beliau bebas memilih apa saja watak yg diingininya. Jadi, bagaimana harus kita mentafsirkan realiti ini? Apa pandangan peribadi anda?

Berbalik pada persoalan asal. Adakah P.Ramlee sekadar seorang "seniman biasa-biasa sahaja" atau seorang pemikir sosial? Jika beliau seorang aktor biasa-biasa saja, sudah tentu watak RAJA menjadi buruan atau sesuatu yg cukup signifikan dlm kerjaya pelakun. Bukan senang utk mendapat peluang menjadi sultan - samaada didalam layar putih apatahlagi diluar filem. Dan, bila kita menjadi sultan, penghulu atau pemerintah, kerjaya lakunan kita akan lebih stabil lantaran populariti yg digapai melalui watak itu. Seniman Haji Mahadi contohnya, amat sinonim dan tegar dgn watak raja, sultan, ulamak mahupun penghulu. Beliau menjadi penghulu bunian dlm filem "Sumpah Orang Minyak" dan menjadi sultan dlm filem "Hang Tuah". Beliau cukup serasi dgn watak2 seperti ini berbanding watak2 dramatik, playboy, agresif atau ganas. 

Tetapi P.Ramlee memiliki perspektif beliau yg tersendiri terhadap konsep kesultanan itu sendiri. Mungkin lantaran itu beliau tidak pernah mengambil peluang walhal beliau mampu. Peranan yg paling digemari ialah watak yg membolehkan beliau mengkritik golongan ningrat aristokrat serta "memperbetulkan" kepincangan mentaliti mereka. Ini dilakukannya dgn licik dlm filem "Nujum Pak Belalang", "Musang Berjanggut" dan "Antara Dua Darjat". Konflik serta jurang sosial yg dicetuskan oleh kegilaan terhadap status quo (atau darjat) cukup diperjelaskan dlm filem "Ibu Mertuaku", "Penarik Becha" juga "Antara Dua Darjat". Hingga hari ini isu perbezaan darjat dan jurang sosial masih kekal membelenggu masyarakat kontemporari hingga mewujudkan fenomena kronisme dan nepotisme yg agak melampaui batas-batas akal.

Jadi, bagaimana P.Ramlee melihat sultan, raja atau lebih tepat lagi "sang pemerintah"? Beliau sendiri hidup miskin dan terhimpit pada bahagian akhir kehidupannya tanpa sebarang pembelaan oleh sang pemerintah. Adakah ini suatu hukuman atau balas-dendam (oleh golongan aristokrat...) keatas beliau? Satu dunia tahu beliau telah dibuang kerja oleh majikannya (SB-Merdeka Studio) pada penghujung kerjaya beliau hingga terpaksa membuka "kedai majong" utk menyara kehidupan sekeluarga. Walhal pada ketika itu pelbagai agensi sudahpun wujud utk membantu merangsang pembangunan sosioekonomi golongan bumiputra seperti MARA dan lain-lain. Tetapi mengapa P.Ramlee langsung tidak dibantu...? Mungkinkah "tiba gilirannya" utk "sang aristokrat" menebus kembali segala bentuk kehinaan (?) atau kritikan yg telah dilemparkan oleh Ramlee selama beliau di tampuk "takhta" sebagai seorang pengarah filem yg tersohor dan seperti "untouchable" oleh tangan2 "pemerintah"....?

P.Ramlee dgn bakatnya yg besar dlm pelbagai genre seni akhirnya rebah tidak bangkit-bangkit lagi di persada budaya negaranya sendiri! Bagaikan suatu konspirasi halus. Walhal Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) sendiri (jika mengikut pada catatan orang terdahulu..) yg mengajak beliau pulang ke tanahair demi meneruskan pembaktiannya kpd kesenian negara. Tetapi bila Ramlee kembali, beliau telah diabaikan. Cita-cita beliau utk menjadi produser filem sendiri lenyap bagai embun di tengahari. Tiada satupun bank sanggup memberi pinjaman walaupun kertaskerja cukup kemaskini. Dan, kemana perginya MARA, bank-bank pemerintah serta lain-lain agensi? Adakah mereka turut terbabit dlm konspirasi utk meranapkan P.Ramlee....??

Jika benar memang wujud suatu konspirasi (atas dasar balas dendam..?), janganlah hingga hari ini kita masih terus melancarkan konspirasi terutama keatas golongan yg benar-benar memperjuangkan kebenaran serta keadilan sosial. Hari ini sultan dan raja hanyalah sebagai suatu simbol kpd sejarah kewujudan kerajaan-kerajaan kecil Melayu di wilayah ini. Sudah banyak sultan yg terhapus atau pupus seperti kesultanan Patani, kesultanan di Sabah dan Sarawak, Melaka, Singapura dan lain-lain tempat. Hari ini negara ini wujud sebagai sebuah demokrasi, bukannya feudal. Jadi, kuasa itu terletak ditangan rakyat, bukan raja atau segelintir apparacik-apparacik politik yg taksub pada kuasa...!

Hari ini perspektif yg dirangsangkan oleh P.Ramlee sekadar menjadi bahan utk orang bergelak-ketawa. Mereka tidak serius cuba memikirkan intipati atau apa yg tersirat disebalik perspektif tersebut. Hari ini masyarakat lebih memburu materialisme, keuntungan peribadi, monopoli kuasa serta melepaskan tengkuk masing-masing. Filem-filem P.Ramlee sekadar menjadi "filem Melayu Klasik" - tidak lebih dari itu. Tidak perlu diletakkan "nilai sejarah", lantaran masyarakat hari ini sudah tidak tahu menghargai sejarah..!!

Friday, February 13, 2015

P.RAMLEE: PROMOSI SIKAP DERMAWAN PEMURAH

BANYAK sekali filem-filem beliau yg memaparkan adegan2 yg sebenarnya bukan sebahgian dari plot tetapi telah dijadikan suatu plot khas serta agenda beliau dlm membentuk kesedaran masyarakat. Apa yg saya maksudkan disini ialah mempromosi sifat dermawan serta gemar memberi. Filem2 yg ada mempromosi sifat2 pemurah termasuklah filem "ALIBABA BUJANG LAPOK", "SABARUDIN TUKANG KASUT", "TIGA ABDUL", "NUJUM PAK BELALANG" & "ANAK BAPAK". 

Jarang sekali orang rajin memaparkan atau cuba mempromosi sifat2 pemurah jauh sekali dalam filem. Tetapi berbeza dgn P.Ramlee. Beliau benar2 mengusahakannya. Agar bangkit kesedaran di kalangan kita utk rajin menderma & menghulur apa jua bantuan kpd golongan yg memerlukan. Dlm kehidupan sebenar, sebagaimana yg dihikayatkan oleh Seniman Ahmad Daud, "kalau pasal menderma, tiada siapa boleh lawan beliau....!" walaupun pada hakikatnya beliau bukanlah seorang yg kaya berharta. Itu sifat sejati beliau yg harus dicontohi.

Dlm filem "NUJUM PAK BELALANG", beliau telah mengarahkan anaknya si Belalang utk memanggil seberapa banyak orang miskin utk beliau berikan sedekah (sebaik saja dinaikkan pangkat sebagai "Ahli Nujum Negara"...). Coba kita banding hari ini kalau ada yg sudi berbuat demikian sebaik saja naik pangkat...? Yg biasa dibuat oleh manusia hari ini ialah menjamu kroni2 dihotel-hotel atau premis2 yg eksklusif. Belum ada kedengaran perkabaran utk "majlis memberi sedekah/derma terbuka...". Itu tidak mungkin terjadi. Makhluk hari ini adalah makhluk yg haloba & terlalu kikir bagai "Haji Bakhil bin Lebai Kedekut" atau lebih bangsat dari itu lahabnya...!

Mesej2 sampaian P.Ramlee melalui adegan2 pemberian derma, "membayar zakat" (...dlm filem "TIGA ABDUL..") dan lain2 itu tidak lain bagi menyedarkan manusia bahawa kita WAJIB melunaskan zakat dgn apa cara sekalipun. Hari ini ramai orang kaya, hartawan, tokoh korporat, berkuasa (samaada ekonomi atau politik..!) tetapi tidak ambil kisah dgn kehidupan masyarakat tertindas. Akibatnya, jurang sosial antara si kaya & si miskin kian bertambah luas & parah. Kesannya, gejala2 sosial seperti merompak, menyamun, mencuri dan sebagainya semakin berkembang-biak & berleluasa di merata wilayah. Keadaan jadi bertambah buruk dgn kadar CPI (costumer price index) & inflasi yg kian meningkat diikuti kadar mengangguran meningkat naik serta harga barang & kos hidup yg sudah diluar kawalan...!

Hari ini kadar kemiskinan tegar semakin meningkat seiring dgn peningkatan jumlah si kaya dan jutawan dlm negara. Disesakkan dgn jumlah peluang pekerjaan yg kian merosot, kadar kemiskinan pasti akan jadi semakin kritikal. Sedang kita berangan-angan utk jadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kita lupa utk menyelesaikan benda2 asas yg mendasari foundasi masyarakat - iaitu kesaksamaan, keadilan sosial, hak atau peluang utk hidup yg samarata. Bagaimana kesejahteraan boleh dicapai jika jurang antara si miskin dan sikaya terus melebar jauh? Bagaimana kemiskinan boleh diatasi jika nilai wang semakin jatuh sementara kos hidup semakin tinggi & memeritkan? Bagaimana kesengsaraan boleh diobati jika sikaya & kasta brahma tidak pernah ingin "memberi"..?

Statistik tahun 2009 membuktikan bahawa negara memiliki 927,045 syarikat berdaftar & 4,362,124 jumlah perniagaan. Ini angka 2009. Hari ini jumlah "orang kaya" negara sudah melebihi sejuta. Bagaimana dgn zakat? Ambil satu contoh: kutipan zakat Perak hanya mencapai RM385.99 Juta sepanjang 2001-2010. Ini bererti purata kutipan setahun cuma RM38.599 juta (RM3.22juta sebulan..) berbanding jumlah penduduk seramai lebih 400,000 orang..! Bermaksud: satu penduduk cuma mampu membayar RM8.05 sen sahaja sebulan..??? Atau, kita sememangnya terlalu bakhil bin kedekut..?? Jika ikut kiraan mudah, sesiapa yg bergaji RM1000 sebulan sepatutnya mampu berzakat /atau derma sebanyak RM25 (...RM10juta sebulan = RM120juta setahun..!).

Demikianlah KIKIRNYA masyarakat di negara ini dlm soal menyumbang. Dan, apabila GST dikuatkuasakan nanti, kadar si kedekut & pak bakhil juga akan turut melambung naik..! Mungkinkah kutipan zakat atau derma juga bakal terjejas teruk..? Mari kita tunggu & lihat....!


Monday, January 19, 2015

P.RAMLEE: NASIB SEORANG SENIMAN DAN EKSPLOITASI SANG MAJIKAN

Filem "IBU MERTUAKU" adalah antara beberapa filem P.Ramlee yg dianggap sebagai "masterpiece" pengkaryaan beliau. Biarpun mesejnya dianggap mudah, namun filem ini dilihat sebagai sebuah filem yg paling sukar dibereskan pembikinannya. Beliau terpaksa mengambil masa 9 bulan utk menyiapkannya dan dihidangkan kpd penonton. Implikasi dari keterpanjangan itu ialah, beliau terpaksa menggunakan kesemua dana sebanyak RM60,000 (yg disediakan oleh majikannya - Shaw Brothers) kpd semua krew dan orang-orang yg terbabit dlm pembuatan filem itu. Dana itu ialah kos operasi atau bajet keseluruhan bagi filem itu termasuk bayaran gaji pelakun, krew dan keperluan logistik.

Hakikatnya, jumlah sebanyak itu masih tidak memadai. Walaupun "IBU MERTUAKU" telah memecah "box office", ia tidak bermaksud si majikan sudah berpuas hati dan "boleh memaafkan" kegagalan P.Ramlee menyiapkan filem itu "on-time"....! Beliau terpaksa membayar "gantirugi" yg dituntut oleh majikannya itu dgn disyaratkan mengarah dua buah filem disamping menggunakan bajet RM60,000 tadi utk membayar segala kos operasi tambahan. Kajian perlu dibuat samaada memang wujud ancaman utk membuang beliau dari Shaw Brothers (SB) atau tidak. Tetapi saya mengandaikan bahawa "memang wujud" ancaman besar kpd kerjaya P.Ramlee pada ketika itu. Sebagai manusia karyawan yg sedang berada di kemuncak "menara", tidaklah bermaksud "status quo" itu tidak boleh diancam. Sebagaimana anda, bila-bila masa sahaja sang majikan boleh lakukan kalau mahu menghumban anda dari puncak kerja.... Jadi, sebagai "pemakan gaji", beringat-ingatlah selalu...

Berbalik kpd P.Ramlee, demikianlah hebatnya cabaran seorang pengarah filem di zaman itu.  Walaupun cukup tersohor di peringkat negara dan Asia, itu bukanlah tiket utk menghindarkan diri  dari tindakan, manipulasi atau eksploitasi oleh sang majikan. Ini kerana majikan adalah kapitalis yg mendominasi modal, tenaga, kuasa dan pengaruh....! Ini patut dijadikan pelajaran pentiang buat semua...

Mungkin tidak ramai yg tahu bahawa P.Ramlee amat menitikberatkan kualiti berbanding kuantiti. Sebab itu beliau pernah mencadangkan Shaw Brothers mempertimbangkan penggunaan filem warna bagi menggantikan filem hitam-putih yg dianggap lapok dan ketinggalan zaman. Ini dijangka akan dapat meningkatkan persaingan filem-filem Melayu di peningkatan antarabangsa kerana filem-filem Hong Kong (markas SB...), Hollywood, Eropah dan hindustan sudah sekian lama diterbitkan berwarna. Dan, filem-filem ini telah berjaya mengungguli panggung-panggung tempatan walaupun mesejnya tidak seberapa dan tidak kemana.

Tetapi SB menolak mentah-mentah cadangan ini atas kepentingan komersialnya sendiri... Mungkin juga SB tidak pernah melihat filem Melayu sebagai "khazanah seni" bagi masyarakat Melayu serantau. Apa yg dilihat ialah setakat mana karyawan-karyawan Melayu boleh dieksploitasi dan sejauh mana syarikat boleh membuat sebanyak-banyak wang dari penindasan itu.  Sebagai industrialis dan kapitalis, perkara pokok ialah keuntungan maksimum melalui manipulasi dan eksploitasi yg maksimum....

Ini mungkin sudah lama disedari oleh P.Ramlee dan mereka yg seangkatan dgn beliau. Sebab itulah beliau pernah mengorak langkah mengemukakan kpd sang pemerintah (pada ketika itu..) utk mewujudkan sebuah badan yg akan menjadi teraju bagi bidang perfileman negara ini disamping dapat membantu karyawan-karyawan Melayu terus berkarya. Namun, pemerintah pada zaman itu masih terlalu daif utk menerima hakikat besar bahawa filem-filem Melayu adalah sebahagian dari kompilasi "khazanah sejarah umat Melayu" dan masyarakat itu sendiri. Jadi, cadangan besar dari seorang tokoh seni yg "besar" ini terkubur begitu sahaja. Akibatnya, karyawan-karyawan filem Melayu tempatan terus merundum dan gelandangan. 

Pada tahun 1964 P.Ramlee telah mengarah filem "Madu Tiga" dan "Tiga Abdul" sebagai penutup tirai pengkaryaan dan kerjaya  beliau dgn SB dan di Studio Jalan Ampas. Beliau berpindah ke Merdeka Studio di Ulu Kelang (bersebelahan zoo negara). Ramai yg tidak mengerti mengapa beliau mengambil keputusan itu. Tetapi sebagai seniman yg berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi, "hijrah" perlu dilakukan walaupun terkadang ia cukup berisiko. Sebenarnya beliau telah dijanjikan dgn segala bentuk "kesempurnaan" yg membolehkan beliau memperluaskan bakat serta pengkaryaannya. Kalau tidak kerana "janji manis" ini, belum tentu Ramlee akan mengorak langkah meninggalkan Jalan Ampas. Ini kerana tahap logistik di Jalan Ampas adalah lengkap, kecuali keengganan SB menggunakan filem berwarna. 

Malangnya, apabila tiba di Merdeka Studio, barulah pembohongan besar terbongkar. Bukan sekadar logistiknya teruk, malah fasiliti asas seperti kamera yg boleh membuat "long shot" pun tidak diadakan. Dan, tidak perlulah kita bercakap soal kostum dan lain-lain. Kebangsatan logistik di studio Ulu Kelang telah benar-benar menjahanamkan kualiti pengkaryaan filem-filem yg diterbitkan disitu meskipun ia bersarang dgn karyawan-karyawan besar seperti Omar Rojik, Jamil Sulong, Jins Shamsuddin, P.Ramlee dan ramai lagi. Malahan "sentuhan emas" karyawan sebesar P.Ramlee sendiri tidak mampu menyerlahkan sesuatu keajaiban. Sebaliknya ia memberi petanda "keghaiban" aura filem Melayu buat suatu  jangkawaktu yg amat panjang. 

Merdeka Studio benar-benar meranapkan bakat-bakat besar perfileman dan pengkaryaan Melayu. Dan, kali ini cita-cita besar P.Ramlee benar-benar berkubur buat selama-lamanya. Filem-filem hasilannya dikatakan tidak berkualiti. Pengarah besar ini dianggap kehilangan taringnya. Filem-filem "Enam Jahanam" dan "SiTora Harimau Jadian" dikatakan dibuat secara ala-kadar. Beliau dipersalahkan kerana gagal menyerlah & sudah tidak serius dlm berkarya. Hakikatnya ialah, Merdeka Studio adalah merupakan majikan yg paling kedekut yg hanya berselera utk mengeluarkan filem kos rendah. Tiada modal utk kostium. Jauh sekali utk menyediakan set. Buktinya, set-set penggambaran filem2 keluaran studio tersebut adalah yg terburuk pernah dihasilkan berbanding filem2 Jalan Ampas atau Cathay Keris. Dlm ertikata lain, lebih baik tidak payah buat filem kalau tidak mahu memenuhi kehendak skrip, nilai seni & pengarahan yg tulin. Kostium yg dipakai oleh para pelakon adalah antara yg terburuk, daif & langsung tidak menurut kehendak skrip & konteks cerita.

Demikianlah buruknya "karaktor" sang majikan. P.Ramlee pernah mendesak agar filem "Enam Jahanam" diwarnakan. Malah beliau pernah mencadangkan agar filem warna digunakan utk mengekalkan dayasaing filem2 Melayu (yg terpaksa bersaing dgn filem2 warna dari barat, hindustan, Hong Kong dan Indonesia). Tetapi pihak majikan hanya memekakkan telinga & hanya mempersalahkan pengarah2 Melayu yg dituduh tidak cukup kreatif! Bagi sang majikan, untung-rugi filem Melayu adalah bergantung kpd kualiti kreativiti, bukan pada modal, setting atau kostium. Demikianlah pembelitnya sang majikan yg tidak patriotik ini...! Alasan yg mengatakan bahawa filem2 P.Ramlee keluaran Hulu Kelang hanya merugikan syarikat adalah suatu pembohongan yg maha besar oleh Studio Merdeka. Jika benar filem2 beliau merugikan, bagaimana P.Ramlee boleh bertahan mengarah hingga tahun 1972...??

Pengalaman P.Ramlee hendaklah dijadikan iktibar oleh penggiat2 seni hari ini. Sejarah pasti akan berulang. Si taukeh filem atau muzik hanya akan mengekalkan anda selagi anda dapat memberi untung maksimum kpd beliau. Apabila anda sudah kehilangan kreativiti & energi utk terus menyerlah, nasib anda akan serupa seperti P.Ramlee, walaupun anda adalah pejuang seni paling tulin di mukabumi ini.

Jadikanlah kisah yg menimpa P.Ramlee sebagai suatu pengajaran kpd semua. Bukan sekadar kpd penggiat seni, malah utk sesiapa sahaja yg hidup sebagai "kuli" kpd "majikan"-nya. Jgn biarkan diri anda menjadi hamba kpd tindasan sang lintah darat...! Rancanglah kerjaya & diri anda dgn sebijak mungkin. Hari ini anda mungkin dipuja oleh sang majikan, mungkin esok anda akan dihumban keluar dlm tong sampah atau muara Sungai Klang...!