Sunday, July 4, 2010

P.RAMLEE: KALAU INGIN BERMADU

Kata orang madu itu penawar. Benarkah begitu? Dan bagi kaum Hawa, madu itu racun berbisa. Berkongsi kasih sayang bukan soal mudah. Menjadi suatu realiti bahawa bermadu atau memiliki lebih dari satu isteri merupakan suatu fenomena yang amat mencabar. Terkadang ia cukup mengerikan. Lantaran ia kerap berakhir dengan perpecahan.

Tetapi filem "Madu Tiga" bukan cuba mempromosi agar kaum lelaki bernikah lebih dari satu. Sebaliknya ia cuba mengetengahkan bahawa memilih untuk memiliki lebih dari satu isteri bukan perkara main-main atau suka-sukaan. Yang pertama cuba dipaparkan oleh P Ramlee ialah kewajipan suami untuk menyediakan perkara asasi untuk sang isteri iaitu rumah, kenderaan serta pembantu rumah atau drebar. Ini memang benar dalam Islam. Kita perlu menyediakan semua itu (termasuk pakaian dan nafkah) sebelum berfikir untuk kahwin. Selagi kelengkapan ini belum ada, hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengadakannya. Jangan sampai isteri dan anak-anak terpinggir merempat di kakilima atau menumpang dibelakang surau gara-gara sikap kita yang tidak bertanggungjawab.

Filem "Madu Tiga" jika dilihat pada perspektif yang rasional jelas menyindir golongan yang gemar mengumpul isteri tetapi secara zahirnya sudah tidak mampu menyediakan perkara-perkara asas kehidupan berumahtangga seperti yang dinyatakan tadi. Bagaimana kita layak berkahwin satu lagi kalau isteri yang sedia ada merengkuk di setinggan? Bagaimana kita memikirkan untuk berkahwin lagi kalau hidup tak ubah seperti kais pagi makan pagi? Bagaimana kita terlintas untuk mengangan-angankan isteri kedua kalau hutang berkeliling pinggang sepanjang zaman? Bagaimana kita berani untuk memikirkan sesuatu seperti itu kalau duit sentiasa kesempitan dan anak-anak bertelanjangan tanpa pakaian baru?

Jika dikaji dalam "Madu Tiga", watak "Jamil" (yang dilakunkan sendiri oleh P Ramlee) merupakan seorang ahli korporat yang memiliki syer dalam syarikat bapa mertuanya. Maka tidaklah menghairankan jika beliau mampu untuk menyediakan segala perkara asas yang ditetapkan oleh syarak. Malah para isterinya memiliki lebih dari itu. Masing-masing disediakan banglo yang tersergam, kereta yang cantik berserta pemandu. Pakaian, emas atau intan-berlian menjadi persoalan kecil lantaran mereka bukan sekadar mampu membeli, malah menempah mengikut citarasa masing-masing. Set rambut? Atau menonton wayang gambar? Atau main mahjong sepanjang hari? Itu terlalu remeh!

Cuba fikirkan. Mampukah anda membayar harga gelang emas sang isteri yang dibuat secara tempahan? Atau menggajikan seorang drebar (yang profesional lagi dedikasi) buat isteri anda pergi ke pasar, menghantar ke kelab kaum ibu, bersiar-siar di sekitar kotaraya atau mengambil angin di tepian pantai?

Itu baru satu isteri. Kalau dua? Kalau tiga? Atau empat? Pernahkah anda sebagai lelaki memikirkan tentang "kos operasi" yang perlu dibayar untuk menyara seorang isteri? Ini belum masuk kira anak-anak, bil bulanan, hutang piutang, berian kepada orangtua dan lain-lain lagi. Jika difikirkan secara terperinci, sudah pasti ramai yang tidak berani untuk bernikah. Lantaran "kos operasi" bulanan yang perlu disediakan adalah cukup hebat! Bagaimana dengan "kos" di musim perayaan? Anda pasti mengigau di siang hari bila mengetahuinya!

Filem "Madu Tiga" yang digarap secara "handy" sebenarnya bukan sekadar menyingkap tabir sikap manusia yang ingin menikah lebih dari satu. Bukan juga sekadar persoalan pembahagian waktu yang adil, sama rata dan sama rasa. Malah, lebih dari itu, keupayaan lahiriah dalam bentuk kebendaan juga perlu ditentukan. Barulah layak untuk kita memikirkan samaada kita "layak" untuk memikirkan bernikah satu lagi atau tidak. Tetapi jika isteri yang sedia ada (serta anak-anaknya) masih terkapar di rumah sewa atau menumpang di rumah mertua, jangan sekali-kali berangan beristeri dua, tiga atau empat. Terlalu buruk akibahnya! Keluarga anda anak beranak akan berakhir di bawah jambatan kalau bukan di kakilima! Anda boleh dipersalahkan lantaran melahirkan masyarakat merempat!