JIKA kita melakukan satu tinjauan ringkas keatas filem-filem P Ramlee, maka kita akan menemui banyak pemikiran-pemikiran saintifik berlegar-legar disana-sini. Dan ia bukan sekadar suatu angan-angan kosong dan bodoh. Sebaliknya ia merupakan pemikiran-pemikiran yang cukup terkehadapan (very advance) dalam konteks masyarakat waktu itu.
Sebagai contoh, dalam filem Ali Baba Bujang Lapok (diterbitkan pada tahun 1961), P Ramlee yang bertindak selaku "chief" atau ketua penyamun dalam filem tersebut telah menggunakan "password" atau katakunci khas dalam bentuk nyanyian singkat (dalam bahasa jawa) untuk membuka pintu gua yang menjadi sarang dan stor simpanan harta rompakan para penyamun beliau. Untuk menutup pintu gua tersebut, satu set nyanyian lain (juga dalam bahasa jawa) perlu digunakan. Bagi penonton umum, ia memang melucukan. Tetapi, pada hakikatnya P Ramlee sebenarnya mencabar para saintis (samaada dalam atau luar negara) supaya melakukan penyelidikan dan mencipta teknologi-teknologi bangunan yang canggih serta berkeselamatan tinggi.
Dalam filem Nujum Pak Belalang, P Ramlee mengetengahkan idea GPS (global positioning system) dan CCTV (close circuit televideo system) melalui air jampi Pak Belalang. Mungkin lebih canggih dari itu. Ini kerana alat GPS hanya memberi panduan lokasi secara grafik. Sebaliknya air jampi Pak Belalang mampu memberikan gambaran tiga dimensi (3D) yang cukup jelas sebagaimana gambaran video atau telefon mudah alih tercanggih serta sistem CCTV yang beresolusi tinggi sekarang.
Misteri alam bunian yang serba mistik, indah dan unik (yang dipaparkan melalui filem Sumpah Orang Minyak) juga turut memperlihatkan aspek saintifik yang cukup kontroversial dan mencabar pandangan para saintis modern. Isu alam ghaib yang tidak terdaya dilihat oleh mata kasar manusia pasti akan sentiasa menjadi perbahasan golongan yang bergelar saintis. Ada yang sudahpun memulakan langkah dengan mencipta alat-alat yang (kononnya) boleh mengesan aktiviti-aktiviti paranormal atau makhluk-makhluk ghaib. Dalam ertikata lain, P Ramlee sekali lagi menjemput para saintis untuk memikirkan dan menerokai suatu alam atau dunia maya lain selain dari dunia kasar yang dapat dilihat oleh mata manusia.
Cukuplah tiga filem ini sebagai contoh ringkas. Sebagai seorang pemikir budaya, P Ramlee bukan sekadar mengajak masyarakat untuk menikmati hiburan ringan dari filem-filem beliau. Sebaliknya, ada mesej-mesej yang sebenarnya cukup berat untuk disampaikan beliau kepada semua. Bukan sekadar slapstick bebal yang tidak bermaruah. Tetapi wawasan-wawasan yang berat, cukup saintifik dan cukup bertanggungjawab.
Itulah P Ramlee!