Wednesday, March 27, 2013

P.RAMLEE: GURU BAHASA MELAYU YG HEBAT

Walaupun tidak pernah belajar hingga ke menara gading, tapi penguasaan dan penggayaan bahasa yg digunakan oleh oleh beliau dalam filem mahupun senikata lagu bukan kepalang hebatnya. Belum ada sarjana Bahasa Melayu yg berani menyanggah hakikat ini. Hingga ke hari ini pengaruh bahasa bawaan P.Ramlee terus meluas dan diperluaskan tanpa disedari oleh masyarakat terkini. Apakah rahsia beliau....?

BAHASA yang digunakan oleh P.Ramlee dalam filem-filemnya adalah bahasa Melayu yang mudah tetapi cukup hebat untuk kekal jadi ikutan masyarakat kontemporari. Selain dari bahasa Melayu "standard", beliau juga rajin meneroka bahasa-bahasa sub etnik dan digunapakai secara optimum disana-sini dalam filemnya. Sebagai contoh, filem "Masam-Masam Manis" telah mengetengahkan bahasa Kedah dan Penang melalui watak Norkiah dan ibunya. Dalam filem "Nasib Do Re Me", bahasa loghat Perak telah digunakan oleh watak Pak Lebai di sebuah warung kopi.

Dalam filem "Kancan Tirana", P.Ramlee telah melakukan eksperimentasi bahasa dengan memperbanyakkan penggunaan perkataan "anda" dan lain-lain perkataan yang dianggap baru pada ketika itu. Meskipun agak kaku, mesej filem masih dicapai. Tetapi eksperimentasi dalam filem "Ahmad Albab" yang cuba menggunakan loghat Arab mungkin dianggap agak berlebihan lantaran filem tersebut ialah sebuah filem drama, bukan komedi seperti filem "Ali Baba Bujang Lapuk". Filem "Ali Baba Bujang Lapuk" dianggap cukup berjaya kerana eksprementasi kepelbagaian bahasa yang amat mengesankan. Malahan filem ini juga telah mengkritik cara kita bercakap melalui dialog berikut: "....lain kali kalau cakap biar terang...!"

Dalam filem "Seniman Bujang Lapuk", P.Ramlee telah membidas tatacara watak "Sudin" yang berbahasa kasar melalui dialognya yang berikut: "....bahasa menunjukkan bangsa...!" Ia merupakan sindiran tajam utk penganut-penganut bahasa kasar dan biadab....

Mungkin P.Ramlee tidak pernah ke kolej bahasa, tetapi pengamatan beliau terhadap kepentingan bahasa telah diserlahkan melalui filem dan lagu-lagu beliau. Bahasa beliau mungkin cuma bahasa harian yang mudah dan ringkas. Tetapi hakikatnya ia cukup maju secara perbandingan waktu. Dalam ertikata lain, beliau cukup prihatan, matang dan "terpelajar" dalam aspek bahasa seawal tahun 50an lagi dan "keterpelajaran" itu telah diperjuangkan melalui lagu dan filem-filem beliau di sepanjang hayat. Belum ada profesor mahupun sarjana bahasa yg benar-benar menyerlah dan berupaya mengatasi beliau. Ini jelas merupakan "bakat" yg telah dibekalkan Allah Taala kpd makhluk yg bernama Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih.

Ringkasnya, walaupun bukan seorang guru profesional atau pensyarah bahasa, beliau memiliki cara tersendiri untuk dilihat sebagai "GURU BAHASA MELAYU". Meskipun adakalanya perkataan-perkataan yg digunapakai terlalu kasar bunyinya (.....misalnya: "...dah buang tebiat? ....nak mampus...?"; "...cilaka punya penyamun....!") dan adakalanya diselang-seli dgn perkataan Inggeris (....misalnya: "....awas, belacan ini ana smuggled dari Malaya daaa....!"; ".....patik kena kidnapped yaa Tuanku...!"; "....anak datuk memang tip-top.....ada classed....!  ....Anak Bapak laa katakan...!"), namun keupayaan beliau memang cukup cemerlang berbanding dgn pengarah-pengarah seangkatannya mahupun yg terkini.

Maka, memang layak beliau dinobatkan sebagai "GURU BAHASA MELAYU" tanpa keraguan lagi...!

Monday, March 11, 2013

PERKONGSIAN PINTAR ALA P.RAMLEE

P.RAMLEE antara lain paling gemar membentangkan kisah hidup golongan kelas bawahan (atau lebih tepat disebut sebagai kelas ploretariat atau marhaen). Tetapi gaya penceritaan akan dibezakan dari satu filem ke filem yg lain walaupun konsep atau falsafahnya masih kekal. Kali ini mari kita fokuskan perbincangan kpd kehidupan di bilik sewaan.

Dalam filem "Masam-Masam Manis" P.Ramlee telah mengisahkan suatu peristiwa pertengkaran antara penghuni-penghuni di "Lodging Mak Minah" di Kuala Lumpur. Yg menarik disini, gambaran yg membabitkan kehidupan di bilik sewaan seperti rumah kongsi yg mengandungi kompartmen bilik-bilik kediaman tersendiri adalah suatu perkara yg menarik dan sukar utk ditemui pada hari ini. Idea sebuah apartmen yg mengandungi bilik-bilik yg disewapakai oleh manusia atau famili yg berbeza tetapi berkongsi dapur dan bilik air adalah suatu idea tradisional yg semakin lesap pada hari ini. Konsep "perkongsian pintar" seperti ini sudah tidak dapat diterimapakai oleh masyarakat kontemporari yg terlalu taksub kpd individualistik dan materialistik...

Sebelum itu, dalam filem "Bujang Lapuk", tiga rakan baik yg terdiri dari Aziz, Sudin dan Ramlee digambarkan hidup berkongsi menyewa bilik di sebuah rumah besar milik janda yg bernama Normah. Didalam filem "Seniman Bujang Lapuk", setting rumah yg digunakan adalah seperti dalam filem "Bujang Lapuk". Ketiga-tiga rakan itu masih menyewa sebilik.

Rumah yg pernah menjadi tempat kelahiran seorang seniman besar di Pulau Pinang....

Seperti dalam dua filem yg lain, ragam hidup para penghuni yg berbeza bilik akan akan pasti memberi kesan sampingan kpd yg lain. Contohnya, jika ada suami-isteri yg berkelahi, maka seluruh "penduduk" di rumah sewa berkenaan akan terganggu. Jika ada yg membuat bising, pasti ada yg terancam dgn kebisingan itu. Jika ada yg mengamuk di tengah malam atau menghidupkan motosikal kuasa tinggi, semua jiran di sebelah akan turut "berjaga malam" lantaran tidak dapat tidur dek bunyi yg memekakkan telinga. 

Hidup menyewa dalam keadaan sebegini sememangnya tidak aman dan perlukan kesabaran tinggi. Jika tidak, perang besar pasti terjadi sepanjang hari. Lantas, ia memerlukan "orang tengah" utk meleraikan sebarang pertengkaran dikalangan mereka.

Demikianlah kehidupan golongan marhaen yg terpaksa menyewa di bilik-bilik sempit dlm sebuah rumah atau "lodge" kos rendah. Tetapi intipati dari coretan ini ialah, kita perlu menghargai hidup ini dan belajarlah utk memberi ruang serta peluang hidup kpd golongan terhimpit dan tertindas. Jangan sampai kita jadi lupa daratan dan turut menjiwai sebahagian dari kekejaman makhluk yg kejam dan zalim di mukabumi ini.

Sayangilah golongan miskin, anak-anak yatim dan mereka yg tertindas!