Sunday, July 4, 2010

P.RAMLEE: KALAU INGIN BERMADU

Kata orang madu itu penawar. Benarkah begitu? Dan bagi kaum Hawa, madu itu racun berbisa. Berkongsi kasih sayang bukan soal mudah. Menjadi suatu realiti bahawa bermadu atau memiliki lebih dari satu isteri merupakan suatu fenomena yang amat mencabar. Terkadang ia cukup mengerikan. Lantaran ia kerap berakhir dengan perpecahan.

Tetapi filem "Madu Tiga" bukan cuba mempromosi agar kaum lelaki bernikah lebih dari satu. Sebaliknya ia cuba mengetengahkan bahawa memilih untuk memiliki lebih dari satu isteri bukan perkara main-main atau suka-sukaan. Yang pertama cuba dipaparkan oleh P Ramlee ialah kewajipan suami untuk menyediakan perkara asasi untuk sang isteri iaitu rumah, kenderaan serta pembantu rumah atau drebar. Ini memang benar dalam Islam. Kita perlu menyediakan semua itu (termasuk pakaian dan nafkah) sebelum berfikir untuk kahwin. Selagi kelengkapan ini belum ada, hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengadakannya. Jangan sampai isteri dan anak-anak terpinggir merempat di kakilima atau menumpang dibelakang surau gara-gara sikap kita yang tidak bertanggungjawab.

Filem "Madu Tiga" jika dilihat pada perspektif yang rasional jelas menyindir golongan yang gemar mengumpul isteri tetapi secara zahirnya sudah tidak mampu menyediakan perkara-perkara asas kehidupan berumahtangga seperti yang dinyatakan tadi. Bagaimana kita layak berkahwin satu lagi kalau isteri yang sedia ada merengkuk di setinggan? Bagaimana kita memikirkan untuk berkahwin lagi kalau hidup tak ubah seperti kais pagi makan pagi? Bagaimana kita terlintas untuk mengangan-angankan isteri kedua kalau hutang berkeliling pinggang sepanjang zaman? Bagaimana kita berani untuk memikirkan sesuatu seperti itu kalau duit sentiasa kesempitan dan anak-anak bertelanjangan tanpa pakaian baru?

Jika dikaji dalam "Madu Tiga", watak "Jamil" (yang dilakunkan sendiri oleh P Ramlee) merupakan seorang ahli korporat yang memiliki syer dalam syarikat bapa mertuanya. Maka tidaklah menghairankan jika beliau mampu untuk menyediakan segala perkara asas yang ditetapkan oleh syarak. Malah para isterinya memiliki lebih dari itu. Masing-masing disediakan banglo yang tersergam, kereta yang cantik berserta pemandu. Pakaian, emas atau intan-berlian menjadi persoalan kecil lantaran mereka bukan sekadar mampu membeli, malah menempah mengikut citarasa masing-masing. Set rambut? Atau menonton wayang gambar? Atau main mahjong sepanjang hari? Itu terlalu remeh!

Cuba fikirkan. Mampukah anda membayar harga gelang emas sang isteri yang dibuat secara tempahan? Atau menggajikan seorang drebar (yang profesional lagi dedikasi) buat isteri anda pergi ke pasar, menghantar ke kelab kaum ibu, bersiar-siar di sekitar kotaraya atau mengambil angin di tepian pantai?

Itu baru satu isteri. Kalau dua? Kalau tiga? Atau empat? Pernahkah anda sebagai lelaki memikirkan tentang "kos operasi" yang perlu dibayar untuk menyara seorang isteri? Ini belum masuk kira anak-anak, bil bulanan, hutang piutang, berian kepada orangtua dan lain-lain lagi. Jika difikirkan secara terperinci, sudah pasti ramai yang tidak berani untuk bernikah. Lantaran "kos operasi" bulanan yang perlu disediakan adalah cukup hebat! Bagaimana dengan "kos" di musim perayaan? Anda pasti mengigau di siang hari bila mengetahuinya!

Filem "Madu Tiga" yang digarap secara "handy" sebenarnya bukan sekadar menyingkap tabir sikap manusia yang ingin menikah lebih dari satu. Bukan juga sekadar persoalan pembahagian waktu yang adil, sama rata dan sama rasa. Malah, lebih dari itu, keupayaan lahiriah dalam bentuk kebendaan juga perlu ditentukan. Barulah layak untuk kita memikirkan samaada kita "layak" untuk memikirkan bernikah satu lagi atau tidak. Tetapi jika isteri yang sedia ada (serta anak-anaknya) masih terkapar di rumah sewa atau menumpang di rumah mertua, jangan sekali-kali berangan beristeri dua, tiga atau empat. Terlalu buruk akibahnya! Keluarga anda anak beranak akan berakhir di bawah jambatan kalau bukan di kakilima! Anda boleh dipersalahkan lantaran melahirkan masyarakat merempat!

Monday, June 14, 2010

P.RAMLEE: MEMBICARAKAN PEMERDAGANGAN MANUSIA


Kebelakangan ini pemerintah tampaknya lebih serius dalam menangani isu perdagangan manusia. Laporan terbaru oleh Kementerian Dalam Negeri menjelaskan bahawa tahap perdagangan manusia telah berjaya dikurangkan apabila Malaysia berjaya naik ke tangga Tahap 2 dalam skala dagangan manusia. Sebelum ini negara menempah tiket dalam Tahap 3. Tahap 3 merupakan tahap terburuk. Tahap 2 adalah tahap sederhana dan Tahap 1 merupakan tahap terbaik.

Yang menghairankan, dunia sudahpun berada di era melenium tetapi mentaliti manusia tidak banyak berubah. Sesudah puas dengan perdagangan dadah, senjata, barang-barang palsu, duit haram dan pelbagai jenayah berat, manusia diperdagangkan kembali. Perdagangan manusia bukan amalan baru. Sejarah telah membuktikan betapa perniagaan hamba merupakan faktor penting yang mewujudkan golongan African-American hari ini. Samaada di Amerika Utara atau Amerika Selatan, penyeludupan etnik kulit hitam dari benua Afrika untuk maksud perdagangan adalah faktor penting yang telah merubah wajah "Dunia Baru" (the New World) menjadi seperti sekarang.

Kini jenayah kolonialisme muncul kembali dalam bentuk yang hampir serupa. Cuma ia lebih sofistikated. Dan yang menjadi mangsanya terdiri dari kebanyakannya wanita-wanita remaja, bawah umur dan lain-lain yang boleh dijadikan "sop ayam" oleh ibu-ibu dan bapak-bapak ayam. "Sop ayam" ini akan digadai dan dilelongkan sebagai pemuas nafsu syaitan yang bernama manusia. "Sop ayam" ini akan terus hangat selagi ada permintaan. Malangnya permintaan memang terus meningkat meskipun harga sop ayam di pasar malam terus meningkat.

Mungkin menarik untuk dinukilkan bagaimana P.Ramlee telahpun menyindir masyarakat berhubung dagangan manusia. Menerusi filem Ali Baba Bujang Lapok, manusia digambarkan sebagaimana komoditi. Bezanya, manusia yang bernilai tinggi (pada ketika itu) ialah yang paling kuat tenaga dan sasa tubuh badan sebagaimana kerbau yang tegap. Manusia yang lembik, pondan dan wanita kurang diminati lantaran kurang atau rendah pulangan ekonominya. Tetapi tidak sekarang. Hari ini wanita-wanita muda menjadi buruan para pemangsa. Tidak dapat yang besar, yang kecil mereka sapu. Tidak dapat yang bawah umur, yang belum akil baligh mereka lipat. Selepas puas dilipat, nyawa mereka turut diragut bagai meragut nyawa tikus dan katak. Demikianlah buasnya manusia sekarang.

Dalam filem Tiga Abdul, sekali lagi P.Ramlee mengingatkan bahawa manusia boleh diperdagangkan jika masyarakat tidak berhati-hati. Malah berniaga manusia lebih untung dari berniaga unta. Ini bererti, bila-bila masa pun manusia boleh dikelentong, dibelit dan diputar hingga maruah dan keperibadian mereka tergadai. Ya, mungkin filem hanya sekadar filem. Tetapi falsafah atau pemikiran yang cuba diketengahkan adalah suatu yang terhasil dari kajian demi kajian serta penelitian yang dalam dan panjang.

Oleh itu konsep perhambaan yang amat bertentangan dengan amalan demokrasi serta hak asasi manusia tidak harus dipandang sebelah mata. Perhambaan hari ini lebih menjurus kepada penyalahgunaan tenaga manusia dalam pelbagai bentuk. Antaranya:

  • Upah tidak dibayar dengan sewajarnya.
  • KWSP tidak dicarum dengan betul.
  • Socso tidak ditentukan untuk pekerja.
  • Syarat-syarat perkhidmatan yang berat sebelah.
  • Aspek keselamatan pekerjaan, kesihatan dan persekitaran tidak ditentukan.
  • Tiada perancangan kerjaya yang betul.
  • Tiada jaminan-jaminan berhubung kenaikan gaji, bonus, kos pemeriksaan kesihatan, kebajikan dan lain-lain.
Ini adalah segelintiran dari keadaan yang berlaku. Tetapi kita usah terpedaya dengan perhambaan-perhambaan dalam bentuk lain. Kisah gundek-gundek serta geisha harus dipandang sebagai perhambaan berprofil tinggi dalam sejarah lantaran dengan maksud yang serupa iaitu pemuas nafsu seksual binatang yang digelar manusia. Hari ini pemuasan nafsu kehaiwanan bukan sekadar di anjung-anjung astana golongan aristokrat sebagaimana catan sejarah. Malah rumah-rumah urut, kelab-kelab sosial yang halal atau haram dan pelbagai bentuk sarang dan saluran bertebaran di pelbagai tempat menawarkan pelbagai nikmat seksual. Yang penting ialah bayarannya.

Dalam filem Bujang Lapok dipaparkan bagaimana seorang ayah "menjual" anak angkatnya demi melunaskan hutang akibat penagihan judi dan arak. Mungkinkah perkara ini bisa terjadi dalam masyarakat kontemporari? Apabila sudah kehabisan wang dan hidup menjadi demikian genting dan melarat, maka anaknya dijual? Apabila kekayaan semakin pudar dan kehabisan modal untuk berniaga, kita beralih kepada sesuatu yang bernama manusia sebagai cagaran untuk terus mengekalkan kekayaan?





Tuesday, May 18, 2010

P.RAMLEE: ISU SESUAP NASI

P Ramlee amat menitikberatkan soal survival. Antaranya ialah isu memperolehi sesuap nasi demi menjana tenaga untuk meneruskan kerja (atau mencari kerja...) dan mengalas perut yang senantiasa kelaparan akibat ketiadaan sumber saraan yang terjamin. Dalam ertikata lain, isu kebuluran di kalangan rakyat perlu dipandang serius oleh sesiapa sahaja yang diberi mandat jadi pemerintah. Jangan sampai ada yang mati kebuluran lantaran terlalu miskin dan papa kedana. Mati seperti katak kering di tanah tumpah darahnya sendiri. Sedang orang lain menyapu bersih segala kekayaan yang ada baik di darat, di lautan mahupun di perut bumi yang amat bertuah ini. Sedang kita berputih mata lantaran KEBULURAN..

Persoalan mati kelaparan jarang diperkatakan orang di bumi Melayu yang serba subur dan makmur ini. Lantaran ia isu terpencil dan cukup memalukan, meskipun ia mungkin suatu realiti yang tidak tertolak. Umum sudah sebati dimomokkan berita kematian berpunca dari penyakit kronik akibat terlebih makan, bukan kerana akibat tidak cukup makan. Lihat sahaja berapa ramai yang menghidap kencing manis, serangan jantung, bergantung pada mesin dialisis, bergantung pada mesin, bergantung pada seribu satu jenis dadah serta ubat-ubatan demi menyambung nyawa yang kian tercabut lantaran terlalu banyak makan.

Tetapi cuba lihat betapa ramai yang mati di benua Asia Selatan dan Afrika akibat kebuluran dan kekurangan zat? Ini belum masuk kira negara-negara yang sering dilanda peperangan, wabak penyakit, malapertaka dan serangan demi serangan oleh tentera-tentera penjajah baru. Diatas kesedaran ini P Ramlee di hampir setiap filem beliau ada sahaja menyelitkan adegan atau isu makan. Ia semestinya bukan sekadar slot bodoh tanpa mesej atau sekadar suka-suka makan sebagaimana siri "Jalan-jalan Cari Makan" terbitan media tempatan yang memperagakan pengacara-pengacara yang mengiurkan yang dengan lahapnya meratah hidangan-hidangan ranggi kasta brahma.

Sebaliknya beliau (P Ramlee) cuba membongkar realiti serta memanifestasikan bahawa makanan memang penting demi survival. Ertinya, "makan untuk hidup", bukan "hidup untuk makan"! Ia telah menjadi keperluan asasi setiap makhluk (samaada seorang raja, menteri, gundek, sida-sida istana atau mahligai, kuli atau hamba abdi, waima cicak, buaya, biawak, jin, syaitan atau apa-apa sahaja yang melata dan bernyawa di bumi ini). Semua perlu makanan untuk penerusan hidup. Jadi, ini bukan kes olok-olok yang boleh disambil-lewakan, terutama oleh si penguasa atau pemerintah.

Pun begitu, makanan juga perlu dikongsikan bersama. Bukan sekadar untuk mengenyangkan tempolok sendiri. Demikianlah gambaran dalam filem "Seniman Bujang Lapok" dimana Ramlee, Ajis dan Sudin terpaksa berkongsi santapan malam yang tak seberapa iaitu sebuku roti berkuahkan kari dalam tin susu. Walaupun cuma secebis makanan, namun ia patut dikongsi dan dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Mengapa? Demi survival bersama. Sanggupkan kita berkungsi makanan dengan orang lain?

Kadangkala makanan harus dikorbankan demi membantu orang lain yang lebih memerlukan. Itulah yang dipaparkan melalui filem "Penarik Becha". Akhirnya beliau harus membohongi ibunya dengan mengatakan beliau sudah makan (walhal nasi bungkus beliau telahpun disedekahkan kepada si miskin yang lain).

Realitinya, isu kebuluran bukanlah suatu isu terpencil. Ia sudah lama menjadi isu global. Kemelaratan di negara-negara Dunia Ketiga masih tidak selesai. Benua Afrika dan Amerika Selatan yang pada asalnya kaya dan memiliki ketamadunannya yang tersendiri runtuh merengkuk dalam kemiskinan dan kebuluran gara-gara penjajahan. Begitu juga di benua kecil Asia Selatan. Malangnya kemerdekaan negara-negara ini sebenarnya tidak berapa tulin lantaran ia telah digantikan oleh neoimperialisme serta hegemoni barat. Lantaran itu isu kebuluran tidak mungkin selesai. Ini kerana negara-negara kaya akan menetapkan harga makanan hinggakan negara-negara miskin terpaksa menyembah dan akur pada telunjuk dan kehendak mereka. Demikian dunia akhir zaman.

P.Ramlee dalam kehidupannya yang sebenar memang seorang insan yang senantiasa berhadapan dengan ketidaktentuan. Sebagai seorang penggiat seni yang profesional dan tulin, punca rezekinya amat bergantung pada penyambungan kontrak, peluang serta biaya untuk meneruskan kerja-kerja kreativitinya. Dalam bahasa mudah, segalanya memerlukan dana atau sokongan wang ringgit. Malah untuk mendapatkan sesuap nasi, ia memerlukan wang. Tanpa semua itu, segalanya tinggal khayalan kosong. Di zaman sekarang manusia akan mati kebuluran lantaran ketiadaan wang.

P.Ramlee sebagai seorang penggiat seni yang tulin sekaligus seorang saintis sosial tidak terkecuali dari kemelaratan, segregasi, penganiayaan serta akses kepada peluang-peluang untuk terus hidup dan berkarya. Kesempitan melanda dari segenap sudut khususnya di penghujung riwayat beliau. Kontrak beliau telah ditamatkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1972. Sebelum itu EMI telah menghumban beliau pada tahun 1968 meskipun kontrak Saloma masih dikekalkan. Kedua-dua pertaka ini telah menamatkan daya kreativiti, pemerhatian saintifik serta mata pencarian beliau.

Dan yang lebih penting lagi, kedua-dua insiden ini telah memaksa beliau sekeluarga menyambung nyawa pada nasi berlaukkan ikan goreng atau telor sahaja. Tidak ramai yang mengetahui hakikat ini. Mujurlah Allah telah menjemput beliau sebelum masyarakat melihat seorang tokoh seni dan saintis sosial sekeluarga mati kebuluran di tanahair yang serba mewah ini.

Demikianlah kisah isu sesuap nasi.